Sep 16, 2015

Kerjaya Paling “seksi” pada abad ke-21

PEMERHATI industri menganggap bahawa saintis data merupakan pekerjaan paling “seksi” pada abad ke-21. Tentunya pernyataan ini menarik minat awam tentang siapakah saintis data dan apakah yang dilakukan oleh mereka? Saintis data ialah golongan baharu (new breed), profesional berpendapatan tinggi dengan kepakaran dan rasa ingin tahu (curiousity) untuk menemukan dapatan baharu dalam dunia Big Data. Istilah saintis data baru muncul sekitar tahun 2008, ditambah lagi dengan inisiatif Big Data yang agresif di Linkedln dan Facebook, walaupun golongan ini wujud dalam syarikat baru muncul dan syarikat besar yang lain.

Kemunculan mendadak golongan ini membayangkan bahawa perniagaan bergelut dengan jumlah data yang terlalu banyak dan pelbagai yang tidak terdapat sebelumnya. Jika sesebuah organisasi menyimpan petabytes data yang pelbagai dan maklumat tersebut kritikal kepada masa depan organisasi, maka untuk menjawab persoalan penting perniagaan memerlukan berbagai-bagai usaha analitikal, dan sudah tentu organisasi tersebut memerlukan inisiatif Big Data.

Banyak keghairahan tentang Big Data kini tertumpu pada aspek teknologi yang memungkinkannya dikendalikan termasuk Hadoop, cloud computing dan data visualization. Perkara tersebut tentunya merupakan penemuan yang penting, tetapi aspek “manusia” yang mengendalikan alatan tersebut sama juga pentingnya. Dalam hal ini, permintaan untuk saintis data sudah melebihi penawarannya dan di beberapa sektor, hal ini merupakan masalah yang serius. Jika inisiatif Big Data yang berjaya memerlukan khidmat saintis data, cabaran yang dihadapi oleh pengurusan adalah untuk mengenal pasti golongan profesional ini menarik khidmat mereka dan membuatkan mereka produktif. Perkara ini bukanlah usaha yang mudah memandangkan tiada universiti yang menawarkan ijazah sains data untuk melahirkan saintis data. Tambahan pula, tiada formula bagaimana saintis data ini disesuaikan dengan organisasi dan tiada ukuran untuk menilai prestasi mereka.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Ekonomi Julai 2015 oleh Rahim Aziz.
#bigdatamalaysia #kerjayaabad21 #datasaintis

data-saintis
Peluang untuk kerjaya seksi

No comments:

Post a Comment